Selasa, 2 Jun 2009

Benarkah

ARKIB : 12/02/2002
Percanggahan Suma Oriental dengan Sejarah Melayu

Oleh: YUSOF OTHMAN

Parameswara mungkin tidak pernah wujud dalam sejarah tanah air dan dengan demikian Tun Sri Lanang bukan orang yang bertanggungjawab memadamkan nama tersebut dalam buku Sejarah Melayu.

Apa yang sebenarnya berlaku bukan Parameswara yang membuka Melaka seperti yang dicatatkan oleh Sejarah Melayu tetapi ialah Megat Iskandar Syah. Tome Pires melalui bukunya Suma Oriental menggunakan nama Parameswara sebagai pembuka Melaka pada 1402 berasaskan maklumat-maklumat yang dikumpul melalui proses dengar cakap dari orang-orang Melaka yang masih ada selepas Portugis menawan Melaka tahun 1511.

Pada tahun 1512 Tome Pires telah mengumpulkan maklumat itu dan dibukukan mengikut pandangan penjajah Portugis dan kacamata penulisan sejarah Barat. Sudah pasti tidak ada
pembesar-pembesar istana yang masih tinggal di Melaka di masa itu dan sudah tentu pula Tome Pires mendapat maklumat dari orang-orang bukan Melayu dibandar tersebut. Dengan demikian nama-nama yang bukan serasi dengan lidah melayu telah disebut sebagai pembuka negeri Melaka.
Parameswara adalah perkataan Tamil dan Hindu. Perkataan Melayu yang hampir-hampir bunyinya ialah ``Permaisura''. Ada catatan oleh Winstedt (1948) menyebut Parameswara sebagai Sultan Melaka pertama (mangkat 1424) dan Sultan Ketiga Melaka iaitu Raja Ibrahim memakai gelaran Sri Parameswara Dewa Shah (mangkat 1446).
Maklumat ini dikongsi bersama oleh Wake (1964) dan Yung-lo Shih-lu dan Hsuan-te Shih-lu dengan menyebut nama sebagai ``pai-li-mi-su-la'' sebagai pembuka Melaka dan sultan keempat Melaka bernama ``Hsili-pa-mi-hsiwa-er-tiu-pa-sha'' sebagai Sultan Melaka keempat. Apa yang berlaku ialah Winstedt dan Wake memang tidak tahu bahasa Melayu samalah seperti Tome Pires dengan sewenang-wenangnya menyebut ``Permaisura'' sebagai Parameswara manakala Yung-lo Shih-lu dan Hsuan-te Shih-lu menyebut dengan pelat Cina mereka tetapi lebih mirip sebutan itu kepada ``Permaisura''. Sebenarnya Raja Melaka memakai gelaran Sri Permaisura Dewa Syah bukan Sri Parameswara Dewa Syah.
Gelaran Permaisura adalah menggambarkan raja lelaki mengikut istilah Melayu samalah dengan Permaisuri merupakan raja perempuan gelaran yang dipakai sampai hari ini. Dengan demikian tidak hairanlah jika Sultan Iskandar Syah boleh juga digelar Permaisura. Hingga sekarang gelaran Permaisura tidak lagi dipakai di Malaysia tetapi negara Brunei Darussalam masih menggunakannya untuk memberi gelaran kepada ahli-ahli kerabat terdekat.
Ternyata sekali istilah Permaisura adalah istilah Alam Melayu yang gagal digarap oleh sarjana-sarjana asing dengan menukarkannya mesjadi istilah Tamil atau Hindu walaupun kedua-dua sebutan ini berpunca dari bahasa Sanskrit. Hasilnya seluruh Malaysia menggunakan fakta Parameswara sebagai sultan pertama Melaka. Pada saya ia merupakan satu perogolan sejarah yang sangat ketara dan memalukan. Ini tentulah muslihat di sebaliknya.
Parameswara dikatakan adalah anak Raa Sumatera yang lari ke Singapura dan mengalahkan pemimpin tempatan bernama Temagi yang di bawah naungan Siam, dan mengambil alih pemerintahan Singapura.
Oleh kerana takutkan serangan Siam, Parameswara lari ke Melaka dan membuka negeri tersebut. Ini cerita yang dipungut oleh Tome Pires, pengarang penjajah Barat. Sejarah Melayu menyebutkan Sang Nila Utama pembuka Singapura dan mangkat pada tahun 623 Hijrah. Singapura diperintah oleh empat lagi raja-raja Melayu sehinggalah Megat Iskandar Syah dikalahkan oleh Majapahit dan lari ke Melaka dan mangkat pada tahun 678 Hijrah setelah memerintah tiga tahun di Singapura dan 22 tahun di Melaka.
Inilah fakta sejarah yang dirakam oleh Sejarah Melayu tetapi dipadamkan oleh Tome Pires dan disokong pula oleh Winstedt dan Wake.
Lima raja-raja Melayu di Singapura dipadamkan dari sejarah asal apabila Singapura menulis semula sejarah mereka pada tahun 1965 dan ternyata sekali bukan Tun Sri Lanang yang memadamkan nama Parameswara yang tidak pernah wujud dalam sejarah tetapi akar umbi sejarah kita telah diputar belit sehingga lima raja-raja Melayu Singapura telah dipadamkan dari sejarah asal kita.
O.W.Walters dalam bukunya bertajuk Kejatuhan Sri Wijaya Dalam Sejarah Melayu (Cornel University 1969-terjemahan DBP 1990) telah menghentam Tun Sri Lanang habis-habisan pengarang Sejarah Melayu sehingga nama Tun Sri Lanang sendiri disebut sebagai ahli salasilah sahaja. Cara beliau mengkaji dan menghentam karangan Tun Sri Lanang ini seolah-olah dia hidup sezaman dengannya dan mengikut pula teknik-teknik penulisan sejarah terkini.
Tujuan Walters adalah jelas iaitu untuk menolak Sejarah Melayu sebagai bahan sejarah dan hanya layak dianggap sebagai satu hasil sastera sahaja berpandukan teknik-teknik saintifik dan penulisan sejarah semasa. Itulah kejahilan utama sarjana-sarjana barat apabila menilai hasil karya klasik anak pribumi tanpa mengenali budaya etnik tersebut dan di zaman silam pula.
Memanghlah benar ada unsur-unsur mitos kayalan dan legenda dalam Sejarah Melayu seperti Raja Suran turun ke laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri sehingga mendapat tiga orang anak iaitu Nila Utama, Nila Pahlawan dan Kerisna Pandita yang kemudiannya naik semula ke darat dan jatuh di Bukit Seguntang. Tetapi keturunan Nila Utama yang menjadi Raja seramai lima orang di Singapura bukanlah satu mitos atau khayalan.
Alasan mitos hanya digunakan untuk memadamkan nama lima orang Raja Melayu Singapura dari buku sejarah. Jika ini dibuat di Singapura ia mempunyai cerita yang lain walaupun Stamford Raffels sendiri mengakui wujudnya lima raja-raja Melayu tersebut.
Ternyata sekali tugas-tugas pengkaji sejarah yang mempunyai motif tertentu dan juga mungkin mendapat upah yang besar dalam usaha pemadaman dan pencabulan sejarah ini. Walters sangat berjaya dalam usahanya dan usaha beliau sudah tentu dibantu oleh Wang Gungwu sarjana yang lebih serdahana yang mengambil fakta dari tulisan sejarah Cina untuk membantu pendapatnya. Walters yang mengambil pelbagai sumber termasuk dari Sri Lanka dan India adalah sarjana upahan yang benar-benar telah berjaya menjahanamkan asas-asas sejarah asal Tanah Melayu dan kerajaan Melayu Melaka.
Sejarah Melayu adalah sebuah karangan agung yang hingga sekarang ini telah diterjemahkan ke lebih 20 bahasa dan menjadi kajian oleh ramai pakar-pakar sejarah dan sastera.
Apabila kini, ia dianggap sebagai suatu hasil sastera sejarah, maka martabatnya telah turun ke taraf yang paling bawah. Ini semua adalah hasil penggunaan teknik-teknik penulisan sejarah moden bagi mengukur hasil tulisan oleh anak watan yang langsung tidak tahu teknik moden dalam penulisan sejarah pada masa itu.
Dari segi dialektik ukuran ini sudah tentu tidak boleh dipakai. Tetapi apa yang berlaku kita menerima alasan kajian saintifik sejarah untuk menolak Sejarah Melayu sebagai bahan sejarah.
Jika pihak luar mengatakan Sejarah Melayu bukan buku sejarah atas alasan tidak menggunakan teknik saintifik dalam penulisannya seperti memasukkan unsur-unsur mitos dan khayalan dan tidak pula mempunyai tarikh bagi peristiwa-peristiwa tertentu, maka kita sebagai khalayak kepada buku ini wajib mengambil fakta-fakta penting sebagai asas kepada penulisan sejarah asal usul kita.
Menolak Sejarah Melayu sebagai buku sejarah mendedahkan kita kepada tipu helah penjajah dan konco-konconya untuk menakluk minda dan warisan ketuanan Melayu sejak turun-temurun kepada suatu keadaan lengang sejarah dan lupa sejarah dan mengambil nama-nama asing untuk dijadikan fakta sejarah.
Sejarah Melayu ditulis lebih awal dari Suma Oriental. Ia ditulis di antara tahun-tahun 1445 dan 1450 iaitu sewaktu Sultan Muhammad iaitu Sultan Melaka ketiga dan Sultan Muzaffar Syah Sultan Melaka kelima.
Ini berpandukan kepada rakaman adat istiadat yang terperinci yang dicatatkan dalan buku tersebut.
Namun begitu penulisan buku ini bukan dibuat sepanjang masa tetapi ditimbun-tambah dari semasa ke semasa dalam zaman Sultan Mansor Syah dan Sultan Mahmud (Sultan terakhir) Melaka.
Tun Sri Lanang hanya menyunting serta menokok tambah dan memperbaiki penggunaan bahasa sewaktu beliau tertawan ke Acheh bersama-sama dengan Raja Abdullah (Raja Seberang, Kesultanan Johor Riau-Lingga) pada tahun 1612, ada kemungkinan naskah-naskah lama sejarah Melayu yang tidak tersusun, dirampas oleh Portugis dan disimpan di Goa, India atau naskah ini dilarikan oleh pembesar-pembesar Melayu dan disimpan di Goa, Makassar.
Adalah menjadi tradisi Bendaharalah yang memegang semua surat-surat penting kerajaan pada masa lalu.
Sejarah ringkas zaman melaka ini pernah dipetik secara yang tepat oleh Raja Ali Haji apabila beliau menulis Tuhfat Al-Nafis pada awal kurun ke-19 lama sebelum sarjana-sarjana barat mengkaji buku Sejarah Melayu suntingan Tun Sri Lanang ini.
Pengkaji sejarah bukanlah orang yang boleh dibeli atau ditipu atau golongan orang yang berwibawa dengan gelaran-gelaran Mahaguru. Mereka mahu melihat apa yang benar dan sekali-kali tidak mahu fakta sejarah diputar belitkan apatah lagi jika fakta sejarah yang diputar belitkan itu mempunyai agenda politik terentu bertujuan untuk melemahkan asas-asas kebangsaan dan ketuanan. Tugas menjahanamkan asas-asas ketuanan dan jati diri bangsa memanglah menjadi tujuan utama penjajah dan konco-konco selepasnya.
Sumber : http://www.utusan.com.my

2 ulasan:

SITI ZAINON ISMAIL berkata...

Tahniah, Nor, teruskan tulisan begini,apapun tanggapan orang asing, yang perlu kita perlu menganalisis dengan kritis...pelajar-pelajar harus didedahkan dengan fahaman antara realiti, fakta, sejarah dengan bumbu mitos lagenda....Sejarah MElayu milik Dunia Melayu. Hanya orang MELAYU yang tahu mana mutu manikamnnya (istilah Hindu Sanskrit) Melayunya Mutiara di lautan dalam....Nenek moyang kita telah mencipta nama yang berbagai rupa.....kesahihan bukan menguji kebenaran sejarah...tapi mengesani dengan kasih tanpa mengaburi citra tempatan......teringat Singa + Pura dilanggar todak....bayangkan kalau tolak mengamuk lagi di wajah kota bersinga itu.... betul-betul di depan arca Raffles...hah

Norazlan Ahmad berkata...

Terima kasih bonda Siti. Terasa bangga diziarahi. Walau sekadar di alam blog.

Segala catatan dan dialog ini adalah kajian untuk karya seni tampak saya.

Segalanya berpunca apabila di tuduh pendatang di tanah air sendiri. lantas cuba mencari bukti kewujudan Melayu sebelum kerajaan Melayu Melaka lagi.