Sabtu, 3 Januari 2009

Kota Gelanggi Hanya wujud pada nama | Berita Harian

Oleh Amad Bahri Mardi

NAMA Kota Gelanggi yang tercatat di dalam sejarah pra Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya tidak wujud kerana penemuan dan bukti terbaru menunjukkan nama lain seperti Langgiu, Gangga Ayu, Klang Kio dan Klangkui lebih diterima.


Sejak isu nama Kota Gelanggi berusia 1,000 tahun itu mula dicetuskan seorang penyelidik bebas, pelbagai pihak mula memberi pendapat dan mengulas kebenaran fakta yang dikemukakan. Berdasarkan bukti terbaru termasuk cerita orang lama dan artifak yang ditemui, nama Kota Langgiu lebih diterima.

Usaha wakil Berita Minggu mendapatkan bukti lisan daripada sejarawan tempatan, termasuk daripada ketua masyarakat orang Asli di Johor akhirnya berjaya menemui fakta yang lebih meyakinkan. Pada masa sama, himpunan maklumat dan cerita ternyata boleh dipercayai serta menyamai seperti yang tercatat di dalam Sejarah Melayu.

Pengarah Arkib Malaysia cawangan Johor dan Melaka, Kamariah Ismail sendiri mengakui nama Kota Gelanggi kurang tepat kerana ada nama lain - Langgiu, Gangga Ayu, Klang Kio dan Klangkui yang lebih sesuai dengan tempat itu.

Beliau berkata, sejak isu Kota Gelanggi diketengahkan, pihaknya turut tertarik untuk turut sama mendapatkan maklumat mengenainya.
Setakat ini, rujukan mengenai kota itu hanya dinyatakan dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).

Katanya, lokasi hutan yang ditunjukkan penyelidikan berkenaan mungkin kurang tepat berbanding apa yang tercatat dalam Sejarah Melayu yang mencatatkan kota itu terletak di hulu Sungai Johor.

"Nama Kota Gelanggi tidak pun kami ditemui dalam mana-mana manuskrip, tetapi nama Langgiu, Ganggayu, Klangkui dan Klang Kio ada dinyatakan dalam tiga edisi Sejarah Melayu, " katanya.

Beliau berkata, maklumat yang diceritakan oleh orang Asli seperti diperoleh Berita Minggu boleh dipercayai kerana mereka pernah melihat sendiri kota itu. Bagaimanapun, kesahihan mengenai kewujudan kota itu masih perlu dikaji dan beliau turut menyatakan sokongan dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk membugar kembali sejarah kota tertua lagi bersejarah itu.

Berdasarkan kedudukan terkini dan bukti cerita oleh Tok Batin Abdul Rahman Abdullah, 85, jelas menunjukkan nama Kota Gelanggi tidak wujud di negeri Johor, tetapi nama Kota Langgiu lebih tepat digunakan oleh sejarawan, pengkaji mahupun ahli arkeologi sejarah negara ini.

Berdasarkan maklumat Tuk Batin Abdul Rahman juga, peluang untuk warga Malaysia amnya dan pencinta sejarah negara khususnya melihat kota berusia lebih 1,000 tahun itu tidak kesampaian.

Bukti tersurat hari ini mengatakan lokasi sebenar kota itu sudah tenggelam di dasar Empangan Linggiu. Mengimbas usaha dan tinjauan Berita Minggu terhadap lokasi Kota Langgiu minggu lalu, ia bermula selepas berbekalkan rujukan dan bukti manuskrip Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) tulisan Tun Sri Lanang mengatakan nama Kelangkui.

Dua edisi Sejarah Melayu tulisan A Samad Ahmad dan W G Shellabear yang dirujuk turut mencatatkan mengenai lokasi kota yang pernah diserang Raja Suran itu terletak di hulu sungai Johor.

Merujuk buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), edisi A Samad Ahmad, nama Langgiu dinyatakan dalam muka surat 11. Sejarah Melayu edisi W G Shellabear pula menyatakan tempat itu sebagai Klang Kio atau Gangayu di muka surat 10. Manakala edisi asal Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) karya Tun Sri Lanang pada muka surat 12 mencatatkan tempat itu sebagai Kelangkui.

Dua daripada edisi Sejarah Melayu itu juga mencatatkan lokasi kota berusia lebih 1,000 tahun itu terletak di hulu Sungai Johor.

Mengenai kota yang diceritakan dibina daripada batu hitam, beliau juga pernah mendengar cerita itu dan kisah itu pernah diceritakan kepada beliau dan ia memang terdapat di hulu Sungai Johor.

"Kawasan ulu Sungai Johor asalnya dahulu sebuah benua. Raja dari India, Raja Siam dan Raja Majapahit pernah datang menyerang kawasan ini. Kerajaan di situ usianya sudah lebih 1,000 tahun dan kewujudannya lebih awal daripada kerajaan Melaka. Saya pernah diberitahu ada orang pernah menemui kota batu hitam yang bentuknya seperti gua yang ada banyak pintu, " ceritanya.

Menyusuli maklumat dan cerita Zakaria itu, pertemuan dengan tiga Tuk Batin Orang Asli membuatkan usaha menjejak lokasi kota itu tambah menyakinkan. Tiga Tuk Batin yang ditemui adalah Tuk Kampung Pasir Intan, Abdul Rahman Abdullah, 85; Tuk Batin Kampung Kempas Menang, Daud a/l Kadir dan Tuk Batin Sayong Pinang, Adong a/l Kuau.

Tuk Batin Abdul Rahman Abdullah, 85, ketika ditemui menceritakan lokasi sebenar Kota Gelanggi terletak di Sungai Linggiu. Kedudukan asal kota itu sebelum ditenggelami empangan Linggiu adalah terletak antara Sungai Tebak dan Sungai Senterok.

"Kota itu memang besar, saya pernah lihat sendiri kerana ia berada dalam kawasan kampung kami. Saya anggarkan kota itu sebesar 40 kaki persegi dan terdapat tiga lubang seperti tingkap pada dinding kota itu, " katanya sambil melakarkan lokasi sebenar Kota Langgiu.

Beliau berkata, kawasan itu pernah diduduki oleh beliau dan lebih 50 keluarga orang asli. Pada sekitar tahun 1950'an, akibat ancaman komunis, mereka semua dipindah keluar dan ditempatkan di tiga buah kampung sekarang.

Mengenai penemuan kota itu, Abdul Rahman berkata, seingat beliau kota itu ditemui sekitar tahun 1930-an, iaitu ketika beliau dan penduduk mencari hasil hutan. Di kawasan itu juga ada dusun durian.

Keluasan sebenar kota dan kerajaan itu beliau dianggarkan seluas 2,000 hektar, iaitu seluas empangan Linggiu sekarang. Ketika ini, semua kawasan kota dan kerajaan tua ditenggelami Empangan Linggiu milik Public Utility Board (PUB), Singapura.

Menceritakan struktur binaan kota dan kawasan sekitarnya, beliau menceritakan kota itu memang besar dan binaannya seolah-olah sebuah istana. Beliau pernah beberapa kali diberi mimpi bahawa kota yang beliau lihat itu adalah milik raja besar satu ketika dahulu.

Beliau berkata, sewaktu mencari ikan di Sungai Tebak berhampiran kota itu. Beliau dan beberapa penduduk asli sering bertemu batu-batu yang mengerlip di kawasan aliran sungai.

"Sungai itu seperti air terjun, di tengah-tengah alirannya terdapat banyak batu-batu yang timbul. Pada batu-batu itu terlekat batu-batu yang bercahaya seolah batu intan permata .Ia jelas dilihat pada waktu malam," katanya.

Mengenai batu intan bercahaya itu, beliau menceritakan ia pernah menyimpan sebahagian serpihan batu itu selama enam tahun. Serpihan batu itu beliau dapati sukar untuk dipecahkan. Selepas dibawa balik ke rumah, batu-batu itu diberikan kepada rakannya yang berasal daripada Singapura. Beliau meminta rakannya itu mengukir batu itu menjadi cincin batu akek, tetapi hingga sekarang batu itu tidak dikembalikan kepada beliau.

Dua lagi Tuk Batin Orang Asli iaitu Tuk Batin Daud, 60 dan Tuk Batin Adong, 58 yang ditemui pada sesi menjejak kota itu, mengakui maklumat dan diceritakan Abdul Rahman adalah benar dan boleh dipercayai.

Tuk Batin Adong turut menceritakan pernah anak buahnya masuk ke kawasan kota itu dan melihat binaan kota berbatu hitam itu. Apabila anak buahnya itu ingin pergi semula untuk kali kedua ke kota batu hitam itu, tetapi gagal menemuinya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mcmn singapura leh dapat hak milik empangan?
Dan mengapa disingapura terdapat 50,000 artikah sejarah tamadun melayu purba?mna dorg dpt?
Tak lain dan tak bukan,dari empangan lingiu!!

deck berkata...

Kalau itu milik kota langgiu dan dari tanah sini, singapura sepatutnya pulangkan balik