Khamis, 8 Januari 2009

Yayasan belum kesan tapak Kota Gelanggi

JOHOR BAHRU: Yayasan Warisan Johor (YWJ) mengakui sebuah kota lama dipercayai dibangunkan di negeri ini sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka, memang wujud seperti disebut dalam Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang.


Timbalan Pengarahnya, Ismail Zam, bagaimanapun berkata YWJ yang menjalankan kajian mengenainya sejak 1996, sehingga kini belum dapat mengesahkan lokasi sebenar tapak kota lama itu yang dikatakan ditemui penyelidik bebas, Raimy Che-Ross.

Beliau berkata, dalam tempoh kajian itu pihaknya mengumpul pelbagai maklumat dan kajian penyelidikan mengenai kewujudan kota lama itu daripada pakar arkeologi tempatan serta luar negara.

“Kita mengakui kewujudan kota lama ini seperti disebut dalam Sejarah Melayu yang ditulis Tun Sri Lanang tetapi masih sukar untuk kita sahkan lokasinya.

“Kita sukar untuk menyatakan bahawa tapak kota lama berkenaan wujud sebelum zaman Kesultanan Melayu Melaka tetapi kemungkinan itu ada berdasarkan penyelidikan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, petang semalam.

Tapak Kota Gelanggi yang juga dikenali Kota Klang Kio yang bermaksud permata dalam bahasa Thai atau Kota Gangga Ayu iaitu air nyaman dalam bahasa Jawa kuno, dikatakan terletak di kawasan hutan di Ulu Tiram dekat sini.

Mengikut Sejarah Melayu, Raja Suran atau Raja Cola selepas menakluki Gangganegara, dikatakan berlayar ke Kota Gangga Ayu, sebuah kerajaan besar dengan kotanya diperbuat daripada batu hitam dan dipercayai masih wujud di ulu Sungai Johor.

Ismail berkata, hasil penyelidikan 30 ahli kumpulan arkeologi YWJ mendapati tapak Kerajaan Johor Lama di tiga lokasi di persisiran Sungai Johor wujud selepas kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka.

Kumpulan itu diketuai Pensyarah Arkeologi Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Prof Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman yang juga Karyawan Tamu YWJ.

Sehubungan itu, katanya, kajian mendalam dan terperinci mengenai tapak kota lama itu perlu dilakukan termasuk mengadakan kerja mencari gali bagi mengesan artifak untuk membuktikan kewujudan kota lama itu.

Beliau berkata, YWJ tidak menghebahkan kajian penyelidikan terhadap tapak kota lama itu kerana belum mempunyai bukti kukuh bagi mengesahkan kewujudannya.

“Kita sudah mengumpul semua maklumat dan dokumen berkaitan kota lama ini tetapi kita belum membuat kerja mencari gali artifak yang dapat membuktikan kawasan berkenaan adalah tapak kota lama berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, kumpulan arkeologi YWJ sedia bekerjasama dengan Muzium Negara bagi mengkaji kewujudan kota lama itu.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengesan tiga lokasi penempatan kerajaan Johor-Riau-Lingga di Sungai Sayong, Panchor dan Kampung Kota Lama, Kota Tinggi, berdasarkan penemuan bahan artifak seperti senjata dan seramik di kawasan terbabit.

Tiada ulasan: